Hasil siasat PKFZ diumum bulan ini

Friday, December 5, 2008
By admin

Oleh Amin Ridzuan Ishak

KUALA LUMPUR: Hasil penemuan siasatan berhubung kronologi peristiwa yang mendakwa berlaku penyelewengan membabitkan pelaburan bernilai RM4.6 bilion bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), akan diumumkan bulan ini.

Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, semalam yang menjelaskan siasatan bagi aspek berkenaan sudah memasuki peringkat akhir iaitu proses membuat rumusan.

Bagaimanapun, masih belum ada sebarang tempoh pengumuman ditetapkan mengenai siasatan bagi status kewangan projek itu yang dilakukan firma perakaunan dan percukaian global, PricewaterhouseCoopers.

Mengulas mengenainya, Ong berkata, siasatan tidak dapat disiapkan dalam tempoh diminta kementeriannya kerana masih belum mendapatkan keterangan daripada beberapa individu yang pernah terbabit dengan entiti itu (PKFZ)

“Keterangan belum diperoleh kerana difahamkan individu itu tiada di dalam negara. Jadi, proses mengambil keterangan mereka tidak dapat dilakukan dan secara tidak langsung siasatan juga tergantung.

“Semua aspek siasatan mengenai status kewangan sudah dilakukan, cuma ini (mengambil keterangan daripada beberapa individu) saja belum. Bagaimanapun, saya jamin ia tidak akan mengambil masa lama,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan persidangan bertajuk `Kemalangan Jalan Raya, Cabaran Kepada Bidang Perubatan’ anjuran Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini, semalam.

Kerajaan mengarahkan siasatan penuh terhadap projek di Pulau Indah itu berikutan dakwaan wujudnya penyelewengan dalam pelaksanaan PKFZ bernilai RM4.6 bilion, sekali gus menyebabkan projek itu gagal dan menjadi `gajah putih’.

Pembangunan itu menimbulkan kontroversi apabila projek yang pada mulanya dikatakan hanya bernilai RM1.1 bilion meningkat kepada RM4.6 bilion serta dianugerah kepada sebuah syarikat tanpa melalui proses sepatutnya.

Sebelum ini, spekulasi tersebar mengatakan bahawa bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy terbabit dengan skandal berkenaan. Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden MCA bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.

Tags: , , , , , ,

Comments are closed.